:::online visitor:::



Friday, July 31, 2009

10 cara membahagiakan ibu bapa


Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia.

Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa. - Memberi nafkah. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

- Menyediakan tempat tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

- Memberi kasih sayang. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.

Firman Allah bermaksud: ?Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).

- Memberi perhatian. Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak diperdulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai, dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang ?membuang? ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu bapa sendiri.

Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.

- Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.

Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang. Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: ?Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: ?Apakah perbuatan disukai oleh Allah??

Lalu baginda bersabda: ?Sembahyang pada waktunya.? Kemudian apa?? tanya saya lagi. Baginda menjawab: ?Berbakti kepada kedua ibu bapa.? Saya bertanya: ?Apa lagi.? Jawab baginda: ?Berjihad pada jalan Allah.?

- Melakukan apa yang disukai. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: ?Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.? (Hadis riwayat Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: ?Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.?

- Bercakap dengan lemah lembut. Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah bermaksud: ?Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ?cis? terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.? (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

- Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

- Meluangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

- Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: ?Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya.? (Hadis riwayat Muslim).

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.

Thursday, July 23, 2009

tips hilangkan stress...!!!!!!!

Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan
tekanan hidup. Antaranya ialah :

1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk


Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk
sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan
mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan
diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca
akan mudah diingati.

2) Perbanyakkan membaca Al-Qur'an

Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca
Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca
Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti
ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai
teman paling akrab pada sepanjang waktu.

3) Banyakkan Solat Sunat

Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal
ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat
sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai
solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam
dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan
kekuatan daripada Allah.

4) Selalu berdoa kepada Allah

Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini
bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan
secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat,
tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan
dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang
benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki
tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.
Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa
hanya kepada Allah yang Esa.

5) Bersangka baik dengan Allah

Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan
dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang
Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu,
kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya
jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa
tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan

Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak
yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita
melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan
seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita
meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga
akan bertambah erat dan kukuh.

7) Amal diet dengan disiplin yang kuat

Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan
salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk
mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat.
Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan
penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing
manis.

8) Menangis dengan sepuas hati

Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat
diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan
hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut
dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati lain" ada
sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka
seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh,
bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang
Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.

9) Hargai kebolehan diri sendiri

Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita
mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk
melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja.
Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan
tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti
menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

10) Cintai diri sendiri

"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain".
Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita
perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri
kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu
dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan
kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. Kesimpulan Sebagai
kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk
diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan
penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat
diselesaikan dengan jayanya.



Keinsafan

Kehidupan Manusia

kasihnya ibu

kasih ayah dan ibu

dajal